Sunday, August 19, 2007

Hakikat Seekor Manusia, Hakikat Seorang Insan.


Jelas dan nyata...

Sudah dikenali dan difahami hakikat seekor manusia.

Di atasi dengan kepala, ada wajah yang pada permukaannya punya dua bebola dipanggil mata. Di sampingnya punya dua cuping telinga. Kepingan berongga dua dinamakan hidung. Rongga besar dipanggil mulut. Jutaan helaian-helaian halus yang berbeza warna bergantung kepada asal usul makhluk ini tumbuh di sebahagian permukaannya. Kadangkala menjadi penghias rupa dan kadang kala menjadi penyemak pemandangan. Di bawah kepala ini terletak struktur asas makhluk ini yang dipanggil badan. Ia dihubungkan dengan kepala melalui satu rod silinder dinamakan leher. Melekat di struktur badan ini dua pasang 'linkage' yang mempunyai fungsi yang sangat pelbagai. Yang dibahagian atas kedua-dua belah sisi dipanggil tangan. Dibahagian bawah pula dipanggil kaki.
Mungkin inilah hakikat seekor manusia...

Tidak jelas dan tidak nyata.

Ada 'Pandangan Suci' menjelaskan makhluk ini punya keistimewaan berbanding makhluk-makhluk lain. Mungkin kerana makhluk ini punya bahagian yang tidak dipunyai oleh makhluk lain. Bahagian yang tidak jelas dan tidak nyata. Ia punya akal yang mengawal aktiviti rasional seperti berfikir, membezakan baik buruk dan mampu mengkaji hikmah disebalik setiap penciptaan. Dengan kelebihan ini, makhluk ini mampu membuat keputusan terbaik dan menghindar dari melakukan kerosakan.
Bahagian ini juga mempunyai hati. Keistimewaan yang sangat hebat berbanding makhluk lain kerana ia mempunyai perasaan. Cinta. Menjadi asas kehidupan, cinta membolehkan makhluk ini mengecapi bahagia dan memahami maksud satu keindahan. Atas dasar ini, ia akan berdiri atas kehendak keamanan dan kedamaian.
Seperti tangan yang mampu di buka luas, ia punya naluri untuk bebas. Naluri ini mengarahkan kepada sebuah pencarian cahaya kebenaran. Tanpanya makhluk ini akan sentiasa tersekat dalam kegelapan dan kebodohan.
Seperti kaki yang menentukan arah pergerakan, ia punya mimpi dan impian. Mimpi dan impian inilah yang menjadikan makhluk ini bernyawa, seperti pahlawan, ia akan menundukkan apa sahaja yang menghalangnya dalam medan perjuangan.
Keistimewaan-keistimewaan ini bergerak seiringan dan bercambah menjadi pecahan-pecahan yang jika dirungkai sampai ke penghujungnya akan berakhir pada satu titik yang menjadi pusat kepercayaan dan keyakinan. Menjadi ruang kosong yang tak mungkin dapat diperjelaskan, kerana ia bersifat Maha Besar dan diluar kemampuan makhluk untuk mengetahuinya.
Mungkin inilah hakikat seorang insan...

Kedua-dua bahagian makhluk ini bergerak seiringan.
Bagai musafir dan kuda tunggangan melalui perjalanan menuju destinasi eterniti yang dipandukan oleh ‘Pandangan Suci’. Hebat sekali makhluk agung ini. Punya kebijaksanaan, kecintaan, panduan dan segalanya. Mana mungkin ia boleh terjerumus dalam kesesatan…
'Pandangan Suci' mengatakan makhluk ini pemimpin segala makhluk.
Tapi 'Pandangan Suci' juga ada mengadakan, makhluk ini diciptakan dalam bentuk yang paling mulia, tapi kemudian ia akan dikembalikan ke peringkat yang paling hina…

Hari ini memperlihatkan kemuncak kehinaan makhluk terdapat pada makhluk ini.
Bodoh. Benci. Buntu. Sesat.
Bagai Sang Kuda yang kehilangan penunggang. Bergerak tanpa arah tujuan, tanpa petunjuk, tanpa pedoman. Kembali ke habitat dan hidup keliaran.
Bodohnya mengalahkan haiwan.
Jahatnya mengalahkan syaitan.
Angkuhnya mengalahkan tuhan.

Bagaimana ini boleh berlaku?
Mungkinkah kerana ia mengasingkan antara dua hakikat,
Hakikat Seekor Manusia dan Hakikat Seorang Insan.
Maka,
Terasinglah manusia dan cinta,
Terasinglah kehidupan dan agama,
Terasinglah makhluk dan Pencipta.

Jika dulu aku mengkritik pendapat seorang filsuf Inggeris yang mengatakan manusia ini berevolusi daripada beruk.
Tapi jika dilihat keadaan hari ini, aku terduduk, tersungkur, terpaku…
Terdiam lalu berbisik sendirian…

“Mungkin benar kata Darwin…”

1 comment:

Rima Ramadhany said...

ecaaannn... aku buka kelas bahasa indo kok.. RM50/jam.. muahahahaha... takde lahh..

tengkiu for the wish.. *pdhl aku bukan patriotik sgt pon*.. ohya, yg bener Sang Saka Merah Putih.. hueheuehuehue...

karya tulis kamu bagus dehh.. untuk bahan renungan.. kapan2 kita ngobrol2 lagi yaa.. spt dulu kita mendefiniskan 'maturity'.. hehehehe....

tetap berkarya!! ^_~